KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memegang pistol di tempat awam dalam satu rakaman yang tular sejak semalam berpunca daripada berselisih faham dengan penarik kereta.
Kejadian berlaku di Bandar Tun Hussien Onn, dekat Cheras, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, penarik kereta berusia 34 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pukul 12.48 tengah hari, semalam.
“Dalam kejadian Selasa lalu, sekitar pukul 10.55 pagi itu, mangsa bersama rakan bertugas untuk menarik sebuah kenderaan disyaki ada tunggakan bank yang dinaiki seorang wanita.
“Ketika proses berkenaan, seorang lelaki kemudiannya datang dan menghalang mangsa dengan alasan mangsa tidak dapat menunjukkan surat bank dan laporan polis berkaitan tunggakan bayaran kenderaan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek telah menafikan kereta yang dinaiki anak perempuannya mempunyai tunggakan bayaran.
“Siasatan mendapati perselisihan faham yang berlaku menyebabkan suspek mengeluarkan pistol dari belakang badannya dan memegang senjata berkenaan serta menghalau mangsa supaya beredar.
“Bimbang sesuatu buruk berlaku, mangsa beredar dari lokasi kejadian sambil merakam perbuatan suspek yang memegang senjata itu,” ujarnya.
Mangsa dan suspek kemudiannya tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Kajang, kata Mohd Zaid.
Tambah beliau, suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 60 tahun telah dirakam keterangan selain pistol digunakan ketika kejadian dirampas untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, semakan polis mendapati suspek mempunyai lesen senjata api yang sah.
Suspek mendakwa dia bertindak demikian disebabkan curiga dengan perbuatan mangsa yang disangka mempunyai niat jahat untuk menarik kereta tetapi gagal membuktikan melalui dokumen tarik kenderaan berkaitan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Semalam, tular video memaparkan seorang lelaki memegang senjata api sambil mengarahkan sebuah kereta yang dinaiki dua individu segera pergi dari lokasi berkenaan. – MalaysiaGazette