LONDON – Bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dilaporkan berada dalam radar gergasi Eropah, Real Madrid selepas dia enggan menyambung kontraknya yang tamat pada musim panas 2025.
Berdasarkan laporan Fabrizio Romano, kelab Sepanyol terbabit berminat dengan pemain antarabangsa England berkenaan yang merupakan antara bek kanan terbaik dunia.
Real Madrid yang kini masih meletakkan Dani Carvajal sebagai pemain pertahanan sayap utama memerlukan seorang pengganti bagi jangka masa panjang.
Selain boleh beraksi dalam benteng pertahanan, Trent juga beberapa kali diturunkan sebagai pemain tengah dengan kebolehannya dari segi hantaran cukup memberangsangkan.
Malah, kebolehannya dalam mengambil sepakan percuma turut menaikkan lagi reputasinya dengan beberapa gol berjaya dicetak dalam kariernya menerusi situasi bola mati.
Alexander-Arnold sering diangkat sebagai antara pemain terbaik di posisinya, baik dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) mahupun di Eropah.
Meskipun pernah dikritik mengenai kebolehannya untuk menyekat serangan lawan, hantaran dan kebolehannya ketika membantu pasukan menyerang sukar dipertikaikan.
Buktinya, dia kini sudah memegang rekod EPL sebagai pemain pertahanan dengan bantuan gol terbanyak meskipun baru sahaja berusia 25 tahun. – Agensi