JPK Seroja bersama kanak-kanak Semporna semasa pengajuran kelas tuisyen percuma.

SHAH ALAM – Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Seroja Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan program Helping Hands, Changing Lives selama empat hari tiga malam dari 27 Februari hingga 1 Mac ini di Semporna, Sabah.

Program itu merupakan program berbentuk Corporate Social Responsibility (CSR) yang bertujuan untuk memberikan khidmat bakti sebaiknya kepada komuniti di Semporna.

Tiga aktiviti utama kali ini adalah aktiviti membersihkan kawasan sekitar Semporna yang dapat menyumbang ke arah kelestarian alam, aktiviti bersama komuniti yang menyasarkan kesejahteraan komuniti setempat dan aktiviti berteraskan pendidikan yang dapat menyumbang kepada pembangunan pembelajaran penduduk Semporna.

“Untuk menjayakan program ini, semua ahli JPK Seroja turut terlibat dalam membersihkan kawasan sekitar Pulau Sibangkat, Semporna.

“Di samping itu, tuisyen secara percuma untuk kanak-kanak Semporna berumur dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun turut diberikan.

“Bukan itu sahaja, sumbangan makanan berbentuk roti, beras dan alat tulis juga turut diagihkan kepada penduduk beberapa kampung di sekitar Pulau Semporna,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Program anjuran JPK Seroja itu juga diharap dapat meringankan beban, memberi manfaat dan kesejahteraan kepada komuniti Semporna.

“Ini jelas memberikan impak yang besar bukan sahaja kepada komuniti Semporna tetapi juga ahli JPK Seroja yang membawa pulang pengalaman dan ilmu baharu untuk diaplikasikan serta kongsi bersama,” jelasnya. – MalaysiaGazette