KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk menubuhkan sebuah jabatan baharu berteraskan teknologi siber yang akan memberi fokus kepada cabaran jenayah digital termasuk kecerdasan buatan (AI) yang semakin kompleks ketika ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tidak dapat dinafikan tugas dan tanggungjawab yang dipikul PDRM dalam konteks jenayah kini semakin mencabar.
Katanya, teknologi digital telah mengubah revolusi dunia dan keseluruhan landskap kehidupan seharian manusia.
“Malah kemajuan teknologi yang begitu pantas dan pesat juga menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah baharu, termasuklah penggunaan teknologi AI.
“Maka, dalam usaha untuk memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan, PDRM perlulah mempersiapkan jabatan dengan aset dan peralatan seiring dengan kemajuan teknologi kepolisan moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Istiadat Perasmian Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama suami, Datuk Zamani Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri, Datin Seri Norhayati Musa serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Razarudin menambah, PDRM berhasrat untuk menubuhkan sebuah jabatan baharu yang berteraskan teknologi siber.
“Semoga sudilah kiranya, hasrat murni ini dapat dipertimbangkan oleh pihak kerajaan agar kami dapat terus memberikan perkhidmatan kepolisan terbaik kepada negara,” katanya lagi.-MalaysiaGazette