Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan pemberian subsidi tepung gandum bernilai RM40 juta telah ditamatkan.

Sebaliknya peruntukannya kini dipindahkan kepada butiran perbelanjaan program Payung Rahmah, kata timbalan menterinya, Fuziah Salleh.

Pemindahan itu dilakukan kerana pemberian subsidi itu tidak pernah dituntut sebelum ini.

“Di dalam Belanjawan 2023 ada butiran mengenai subsidi tepung gandum untukĀ  kegunaan am sebanyak RM40 juta tetapi pada Belanjawan 2024 tidak ada butiran ini.

“Peruntukan RM40 juta itu ada tapi di bawah butiran Payung Rahmah,” katanya yang menepis dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Perikatan Nasional) dalam Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah berkata, perkara ini pernah dimaklumkan dalam Dewan Rakyat semasa beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin sebelum ini.

“Tidak ada kilang mahu menghasilkan tepung gandum kegunaan am, selain rakyat pun tak pernah minta… yang keluar tepung pelbagai cap, yang ada tepung cap Ros, dan lain-lain,” katanya lagi.

Subsidi tepung gandum kegunaan am merangkumi pengagihan kuota dan bayaran tuntutan subsidi kepada pengilang bagi memastikan tepung gandum bersubsidi dijual pada harga runcit RM1.35 sekilogram. – MalaysiaGazette