Tengku Zatashah dan Dr Wan Azizah turut serta memasak bubur lambuk pada program anjuran YFBM.

KAJANG – Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) mengagihkan sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk bersama sekeping donut Dunkin telah diagihkan di beberapa buah lokasi di sekitar Lembah Klang.

Program Bubur Lambuk ini melengkapi sambutan bulan Ramadan yang begitu sinonim sebagai menu rakyat Malaysia.

Antara lokasi agihan bubur lambuk itu ialah MRT Ampang Park, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Dunkin Metro Point KAJANG, Dunkin Putrajaya Sentral, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Taman Impian Ehsan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Langat.

“Program ini bertujuan mengeratkan ukhuwah persaudaraan antara sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah YFBM, agensi kerajaan dan juga Dunkin Malaysia,” kata YFBM.

Melalui program ini, YFBM menyediakan bubur lambuk, bermula dari proses memasak, membungkus sehingga selesai pengagihan.

“Sudah menjadi tradisi untuk YFBM menyantuni komuniti dengan pelbagai program yang akan memanfaatkan pada bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan media.

Program Bubur Lambuk YFBM ini dihadiri oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr Wan Ismail, Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Food Bank Malaysia, Tengku Datin Paduka Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman dan Pengarah Urusan Golden Donuts Sdn Bhd, Peter Yu. – MalaysiaGazette