MELAKA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh didakwa menerima ugutan bunuh mengenai kelantangannya dalam isu kalimah Allah pada stoking baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengetahui berita itu selepas dihubungi seorang individu ketika dalam perjalanan ke program rasminya hari ini.
“Hamba Allah itu kata dia risau kerana ada dengar satu ugutan bunuh terhadap saya yang mengatakan jika Ketua Pemuda UMNO terus cakap tentang KK Mart ini (isu stoking kalimah Allah) dia pasti ditembak mati satu hari nanti.
“Individu itu kata, dia betul-betul serius dengar ugutan itu dan dah buat laporan polis mengenai apa yang didengarinya itu.
“Insya-Allah petang ini saya juga akan buat laporan untuk lindungi diri saya dan keluarga dan saya takkan berganjak walaupun seinci dari pendirian saya ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok rasminya hari ini.
Dr Akmal ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pukul 5.30 petang ini.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Dr Akmal adalah antara pemimpin kerajaan yang lantang menyuarakan pandangan Pemuda UMNO termasuk melancarkan gerakan memboikot kedai serbaneka 24 jam itu atas tindakan biadabnya itu.
Pergerakan Pemuda UMNO terus mempertahankan tindakan itu walaupun menerima tentangan daripada rakan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan khususnya DAP yang meminta isu itu segera dihentikan. – MalaysiaGazette