Dua suspek warga asing dalam kejadian di Klang semalam

KUALA LUMPUR – Satu keluarga melalui detik cemas apabila anak perempuan mereka nyaris diculik dan dilarikan dua suspek warga asing dalam kejadian di Klang semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek itu berjaya  dicekup orang awam yang bertindak pantas dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao berkata, dalam kejadian yang berlaku jam lebih kurang 7.30 malam itu, pengadu sedang menaiki eskalator di NSK Klang Sentral bersama adik perempuannya sambil memimpin tangan anak perempuan yang berumur setahun tujuh bulan.

“Tiba-tiba telah datang dua lelaki warganegara asing yang tidak dikenali dari arah belakang di mana salah seorang suspek telah mengangkat anak pengadu itu dari arah belakang.

“Pengadu (ibu mangsa) terus menjerit dan menarik semula anaknya sebelum dua lelaki suspek itu cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun kedua-dua suspek itu berjaya ditangkap oleh orang awam yang bertindak pantas setelah menyedari insiden itu,” katanya dalam kenyataan pagi hari ini.

Mengulas lanjut, Vijaya Rao menambah  tidak lama kemudian orang awam telah serahkan kedua lelaki tersebut kepada polis.

Kedua-dua suspek telah dibenarkan direman selama tiga hari oleh mahkamah di Klang bagi membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu boleh menyalurkan kepada pihak polis ataupun mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-MalaysiaGazette