Steven Sim Chee Keong
Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Bilangan pekerja asing dalam negara ini setakat 15 Mac lalu adalah seramai 2,171,798 orang  menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah itu berdasarkan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut beliau, kerajaan telah menetapkan bilangan pekerja asing dalam negara ini tidak boleh melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun 2025.

“Buat masa ini, kerajaan masih mengekalkan keputusannya untuk membekukan kelulusan kuota baharu kerana bilangan pekerja asing dalam negara telah menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah RMK12,” katanya menjawab pertanyaan asal Lim Guan Eng (PH-Bagan) semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Steven menjawab pertanyaan Guan Eng mengenai status kekurangan pekerja asing, jumlah yang masih diperlukan dan usaha dijalankan bagi mengatasi masalah berbangkit.

Dalam pada itu, Steven berkata, kerajaan masih dalam proses memuktamadkan saringan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK) seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Oleh itu, katanya, sebarang keputusan berkenaan pembukaan semula kuota pekerja asing akan ditetapkan setelah kerajaan mendapat perincian penuh berkaitan jumlah kuota pekerja asing yang masih belum memasuki negara sebelum atau pada 31 Mei 2024 dan hasil program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang prosesnya akan berakhir pada Jun 2024.

Menurut beliau, berdasarkan dapatan yang diperoleh daripada Agensi Kawal Selia mengikut sektor, anggaran tenaga kerja yang diperlukan adalah seramai 308,570.

“Kuota baharu hanya akan dipertimbangkan mengambil kira baki kuota yang masih ada dari unjuran 15 peratus tenaga kerja selepas pengemaskinian jumlah kuota pekerja asing yang aktif dan RTK 2.0.

“Baki kuota yang tinggal akan disalurkan kepada sektor atau sub sektor kritikal dan mempunyai impak yang tinggi kepada hasil ekonomi negara,” kata Steven.

Pada 16 Januari lalu kerajaan mengumumkan proses memudahcara penggajian pekerja asing secara sistematik dan proses kemasukan yang mudah serta cepat yang mana tempoh masa permohonan kuota sehingga kemasukan pekerja telah dikurangkan dari 29 bulan kepada 15 bulan juga disediakan.

“Langkah ini akan menyegerakan kemasukan pekerja asing dan membantu industri untuk menjadi lebih kompetitif. Dasar baharu ini akan bermula selepas kerajaan menarik balik pembekuan kelulusan kuota baharu,” tambah Steven. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast