Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengakui kewujudan kegiatan jual beli, pemasaran dan transaksi membabitkan barang dadah dalam pelbagai bentuk platform e-dagang menjadi satu ancaman baharu kepada negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menyedari hakikat ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah dipertanggungjawab memperhalusi segala akta-akta sedia ada khususnya berkenaan e-dagang bagi mengekang sepenuhnya urusan dadah dalam talian.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang bersidang pada hari ini di Bukit Aman bersama semua pihak dan agensi berkepentingan termasuk PDRM.

“Benar mesyuarat hari ini menerima satu pembentangan iaitu wujud atau tidak mengenai transaksi dadah menggunakan platform media sosial dan jawapannya ada.

“Ia memang dibincang dan KPDN telah diberi tanggungjawab untuk melihat semua akta-akta yang ada khusus berkenaan e-dagang, yang bermakna ada penjual, ada pembeli dan ada transaksi dalam talian.

“Kita lihat ini sebagai satu bentuk ancaman baharu membabitkan perolehan dadah melalui e-dagang, maka ada keperluan untuk jawatankuasa ini melihat perkara ini secara lebih serius dan tiba masanya peruntukan akta sedia ada disemak semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat JKMD yang telah dihadiri dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Tingkat 31 Bukit Aman bermula pagi hingga tengahari tadi.

Turut hadir ke mesyuarat itu Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata,  KPDN juga telah pun memulakan tempoh kajian mereka terhadap akta-akta dan perundangan sedia ada berkaitan e-dagang itu.

“Apabila tempoh kajian itu selesai, mereka kemudian akan mengangkat syor-syor matriks pindaan membabitkan akta-akta berkaitan.

“Jadi dalam perkara (dadah) ini, kita kena bertindak selangkah ke hadapan untuk menanganinya secara berkesan.

“Kalau kita lihat, dulu kita tidak ada masalah ini (dadah di media sosial) tapi sekarang ia menjadi satu bentuk ancaman baharu yang mana bukan sekadar cecair vape yang mengandungi komponen dadah tetapi pemasaran dadah juga dilakukan menerusi media sosial,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast