Datuk Seri Mohamad Hasan- QURRATU AINI, 24 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyifatkan kelulusan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta di Gaza sebagai satu kejayaan besar.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia mengalu-alukan keputusan tersebut yang dilakukan secara dalam pengundian semalam.

“Resolusi ini menuntut gencatan senjata serta merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

“Penerimaan resolusi ini merupakan satu kejayaan besar memandangkan konflik di Gaza bermula lebih lima bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Malaysia telah lama menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan bagi melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman Israel, yang sehingga kini telah meragut lebih daripada 32,000 nyawa.

Sekatan sempadan rejim Israel telah mengakibatkan risiko kebuluran dan malnutrisi terhadap 2.3 juta penduduk Gaza.

“Malaysia menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memastikan Israel memenuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa dan menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan serta-merta.

“Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan supaya Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB,” katanya.

Buat pertama kali sejak serangan Israel di Gaza tercetus lebih lima bulan lalu, UNSC pada Isnin akhirnya sebulat suara mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.

Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini berulang kali menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi yang bertujuan memberi tekanan kepada sekutu kuatnya, Israel akhirnya mengambil pendirian berkecuali manakala 14 negara anggota tetap UNSC sepakat menyokong draf tersebut. – MalaysiaGazette