Kapal Cruise Tasik Putrajaya menjadi tarikan pelancong. Kapal Cruise Tasik Putrajaya merupakan salah satu tarikan yang terkenal di Putrajaya. Pengunjung dapat melihat pelbagai bangunan ikonik dan pemandangan menarik Putrajaya. Pelancong boleh menikmati pengalaman menaiki Kapal Cruise Tasik Putrajaya dengan harga tiket bermula serendah Rm30 dan ia di buka setiap hari dari jam 10 Pagi hingga 7.30 Malam. Pelancong menikmati pemandangan sekitar putrajaya dengan menaiki kapal cruise di Taman Tasik Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 11 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pelancongan domestik di Malaysia merekodkan 54.3 juta pelawat pada suku keempat 2023, melonjak 16.1 peratus berbanding suku yang sama
tahun sebelumnya atau naik 1.6 peratus bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun.

Jabatan Perangkaan berkata, pelancongan domestik mencatatkan RM23.8 bilion bagi jumlah perbelanjaan, peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dan kenaikan 18.5 peratus suku tahun ke suku tahun.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhannya, prestasi pelancongan domestik Malaysia bagi tahun 2023 merekodkan 210.9 juta pelawat, meningkat 22.9 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Bagi perbelanjaan pelancongan domestik pada tahun 2023, ia mencatatkan RM84.9 bilion, meningkat 32.5 peratus berbanding tahun lepas.

Walau bagaimanapun, kedua-dua statistik ini masih di bawah paras pra-pendemik (2019) dengan pelawat domestik merekodkan -11.8 peratus dan perbelanjaan pelancongan
domestik berkurang -17.7 peratus.

Mengulas lanjut mengenai prestasi berkaitan industri pelancongan pada suku keempat 2023, indeks hasil taman tema meningkat 49.2 peratus tahun ke tahun, diikuti ketibaan
di lapangan terbang domestik (+1.7 peratus), trafik lebuh raya (+10.9 peratus) dan jualan runcit bahan api (+3.4 peratus).

Sementara itu, indeks hasil penginapan juga meningkat dengan merekodkan 12.5 peratus.

Kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1 peratus, diikuti oleh hotel empat bintang (+0.7 peratus) dan hotel tiga bintang (+14.8 peratus).

Manakala kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.6 peratus, berbanding suku tahun yang sama tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast