Ismail Karim (tengah) hadir Majlis Berbuka Puasa Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor di White Hall Event Space, Kempas malam tadi

JOHOR BAHRU – Dalam keadaan kempen boikot sekarang, para peniaga bumiputera harus mengambil kesempatan menarik umat Islam membeli produk mereka.

Presiden Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor (DTUPBNJ), Datuk Ismail Karim berkata, isu kalimah Allah pada stoking perlu membuka minda peniaga bumiputera untuk terus mengembangkan perusahaan  mereka.

Ia sekali gus menyuburkan semula kempen Buy Muslim First (BMF).

“Peluang tersebut wajar diambil mereka kerana kuasa beli bumiputera adalah kira-kira RM100 bilion sebulan iaitu perbelanjaan terbesar berbanding kaum lain.

“Inilah masa yang sesuai untuk para pengusaha bumiputera mengembangkan apa yang diusahakan setelah isu tersebut mendatangkan kemarahan umat Islam kepada pengusaha bukan bumiputera yang culas menjaga sensitiviti umat Islam pelanggan terbesar mereka.

“Percayalah inilah masanya pelanggan Islam akan mula mencari rangkaian usahawan bumiputera dan ini jugalah masanya bagi pengusaha bumiputera untuk memajukan apa yang diusahakan termasuklah mereka di dalam perniagaan runcit yang berada dalam bentuk mini mart atau super market,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Khas dan Majlis Berbuka Puasa Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor di White Hall Event Space, Kempas malam tadi.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, susulan isu kalimah Allah, pihak DTUPBNJ berpendirian langkah boikot hanya terpakai kepada pengusaha yang degil dan berniat jahat.

Katanya, kerajaan perlu bertindak lebih keras dengan mengadakan hukuman lebih berat agar boleh menjadi pengajaran kepada pengusaha lain agar lebih peka dan sensitif terhadap isu sedemikian.

Selain itu, katanya, DTUPBNJ sedang merangka pelan untuk membina Muslim Mall di bandar raya ini khusus dalam mengembangkan perniagaan milik orang Islam  disamping menggalakkan kempen BMF.

Muslim Mall itu akan menjadi pusat untuk peniaga Islam berniaga dan melakukan pelbagai urusan atau aktiviti melibatkan perniagaan. – MalaysiaGazette