Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menunggu keputusan cap jari yang diambil dari beg berisi wang tunai lebih RM500,000 yang dijumpai di tempat parkir sebuah pusat beli belah di Damansara dekat sini untuk bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui kesan cap jari di bagasi berkenaan dihantar untuk dianalisa di makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita masih menunggu hasil keputusan cap jari terbabit dan setakat ini belum diperoleh lagi dari makmal malah setakat ini pengarah syarikat terbabit juga masih belum tampil untuk membantu siasatan kami berkaitan penemuan beg berisi wang tunai itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Sebelum ini, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di Damansara menemui bagasi berisi wang tunai di tempat letak kenderaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu berkata, siasatan mendapati beg itu berisi wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

“Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup namun tidak memfokus kepada lokasi bagasi ditemukan dan meminta pemilik bagasi tampil berserta bukti jika ingin menuntut wang berkenaan.

“Susulan itu, polis menerima laporan daripada sebuah syarikat yang mendakwa bagasi berkenaan milik mereka namun sehingga kini individu itu belum tampil dan melambatkan proses dengan memberikan pelbagai alasan seperti bermesyuarat dan sakit,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast