Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi Foto SYADILA AMARI, 05 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti makmal patologi bagi menguji dadah yang ada di negara ini.

Pengerusi JKMD Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan itu kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM230 juta bagi memastikan makmal patalogi dadah lebih canggih.

Cadangan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf lapan makmal dadah sedia ada di Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta menubuhkan enam makmal dadah baharu di Pahang, Perak, Selangor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

“Ketika ini makmal patalogi dadah sedia ada sudah menjangkau usia lebih 30 tahun dengan peralatan usang, selain bahan-bahan ini diabsahkan daripada uji kaji untuk dibawa ke mahkamah.

“Maka wujud keperluan untuk kerajaan memastikan makmal-makmal serta bahan uji kaji dadah lebih berteknologi canggih dengan peralatan termaju.

“Peningkatan keupayaan makmal patologi ini akan memberikan impak positif kepada kelancaran proses pengurusan kes-kes berkaitan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia khususnya dan sistem kesihatan secara amnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JKMD pertama di Menara 1 Bukit Aman pagi tadi.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Ahmad Zahid menambah, langkah itu perlu susulan perubahan trend pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Jelas beliau, jawatankuasa sama perlu memberi penekanan terhadap pendekatan baharu untuk memastikan pencegahan dan pemulihan dadah dilakukanu secara berkesan dan tidak lagi menggunakan langkah-langkah konvensional yang diangap tidak relevan mengikut cabaran semasa.

“Langkah-langkah perundangan sedia ada biarpun sudah diperketatkan tetapi masih ada lagi kelompongan penguatkuasaan yang harus ditangani segera bagi mencegah dadah secara holistik,” ujar beliau.

Tambahnya, profil penyalahgunaan dan penagih dadah serta bahan terlarang untuk tahun 2021 hingga 2023 bagi setiap negeri turut menunjukkan trend meningkat dan Kempen Antidadah akan dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2025 dengan matlamat ‘Lebih Baik Cegah’ dengan mesej ‘Pencegahan dadah bermula di rumah’ serta menggunakan tagline ‘Tak Payah, Tak Nak’.

“Mesyuarat turut dimaklumkan kajian menunjukkan keluarga merupakan faktor pelindung kepada individu daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Daripada keseluruhan klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun 2023 yang berjumlah 75,291 orang, sebanyak 24.1 peratus atau seramai 18,115 orang klien mempunyai ahli keluarga yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Oleh demikian, pendekatan program keluarga perlu diperkukuh dengan mengalakkan kefungsian setiap ahli keluarga dan mewujudkan interaksi keluarga yang aktif,” kata Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast