Antara individu yang ditahan dalam operasi oleh JIM.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya membongkar satu aktiviti penipuan dalam talian didalangi warga asing yang menjadikan sebuah unit kondominium mewah ala resort sebagai sarang operasi sindiket itu.

Kegiatan itu berjaya dikesan menerusi operasi penguatkuasaan Ops Serkap yang dijalankan sekitar jam 4.30 petang di sebuah kondominium resort mewah di Jalan U-Thant, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam tentang aktiviti warga asing yang menjalankan pusat perkhidmatan pelanggan secara dalam talian yang melanggar undang-undang.

Sindiket scam di kondo ala resort jalan U-Uthant dibongkar dalam operasi tangkapan PATI oleh JIM WPKL Isnin lalu.
Sindiket scam di kondo ala resort di Jalan U-Thant terbongkar dalam operasi tangkapan PATI oleh JIM WPKL Isnin lalu.

 

“Dalam operasi ini, kita memeriksa beberapa unit kondominium dan sekitar laman resort yang dikawal ketat oleh dua lapisan kawalan keselamatan.

“Hasilnya, seramai 28 orang telah diperiksa di dalam serbuan ini dan seramai enam warga asing yang berumur antara 35 hingga 56 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada warga China dan Myanmar.

Dalam perkembangan sama, katanya, satu saman turut dikeluarkan kepada pemilik kondominium resort tersebut untuk membantu siasatan lanjut.

“Kami percaya beberapa unit premis kondominium resort ini telah digunakan sebagai pusat aktiviti penipuan dengan penglibatan scammer yang terdiri daripada sekumpulan warga asing bagi tujuan pelaburan dalam talian.

Dokumen perjalanan warga asing yang dirampas dalam tangkapan PATI dan pembongkaran scammer di Kondo Ala Resort di ibu negara Isnin lalu oleh Jabatan Imigresen WPKL.

 

“Ini kerana terdapat beberapa peralatan seperti buah komputer riba, set komputer berskrin besar, tablet, telefon bimbit, ‘router’ wifi dan sejumlah 11 pasport antarabangsa telah ditinggalkan di dalam bilik beberapa unit kondominium berkenaan.

“Mereka dipercayai telah melarikan diri melalui tingkap belakang apabila menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa JIM,” ujar beliau.

Operasi  penguatkuasaan itu telah disertai oleh seramai 36 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) dengan bantuan kekuatan daripada Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya, serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM WPKL.

Jelas beliau, kesemua tangkapan itu dikenalpasti telah melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette