Ir. Razali Kassim meninjau jejambat dari Persimpangan Bukit Setongkol ke Jambatan Putra menghala ke Tanjung Lumpur hari ini

KUANTAN – Jejambat dari Persimpangan Bukit Setongkol menuju Jambatan Putra bernilai RM 47 juta sudah siap sepenuhnya dan diserahkan oleh pihak kontraktor pada 22 Mac lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, dan Kesihatan Ir Razali Kassim berkata, walaupun jejambat tersebut kini tersedia digunakan namun ia masih menunggu kelulusan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk dibuka.

Razali yang meninjau projek yang bermula pada 15 Jun 2020 itu memohon agar kelulusan laluan tersebut dibuka segera supaya dapat digunakan dalam tempoh terdekat bagi mengurangkan kesesakkan aliran trafik pada waktu puncak.

“Alhamdulillah tengok semuanya dah ready untuk dibuka cuma melalui proses di mana kelulusan untuk buka jalan adalah daripada KKR, dan  Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah pelaksana.

“Saya pun dah minta pada pihak JKR membantu untuk mengusahakan buka flyover (jejambat) ini dalam masa terdekat, kalau boleh sebelum raya Aidilfitri ini,” katanya selepas lawatan kerja ke jejambat berkenaan hari ini.

Difahamkan  projek flyover ikonik Kemunting-Bukit Setongkol bypass ini bakal memendekkan perjalanan dari Indera Mahkota ke Tanjung Lumpur melalui Jambatan Putra.

Struktur jejambat sepanjang 280 meter ini dibina untuk pemanduan 60km/jam di dilengkapi lampu jalan jenis LED di kedua-dua belah hala.

Projek ini merupakan perjanjian tambahan daripada pembinaan Jambatan Putra yang menghubungkan Bandar Kuantan ke Bandar Putra Tanjung Lumpur dengan keseluruhan jarak sejauh 2.5 kilometer.

Skop pembinaan secara reka dan bina itu melibatkan pembinaan jalan empat lorong berkembar, dilaksanakan oleh kontraktor yang sama bagi kontrak sebelum ini yang menyediakan dua laluan patah balik dari kedua-dua arah.

Turut meninjau kawasan itu ialah Pengurus Besar Pembinaan Unit Projek Khas Zon Timur 2 Cawangan Jalan, JKR Malaysia, Shahriman Daud serta Timbalan Pengarah JKR Pahang, Ir Rosnan Hussin.

Dalam pada itu, Shahriman berkata, pembinaan flyover itu dapat mengurangkan kesesakan trafik di Tanah Putih dan Bandar Kuantan serta memendekkan perjalanan daripada melalui pusingan-u di Tanah Putih di laluan Persekutuan FT002 sebelum ini.

Ia dapat memendekkan jarak sepanjang 9 kilometer (km) dan menjimatkan masa perjalanan sekitar 15 hingga 30 minit dari arah Bandar Indera Mahkota dan kawasan sekitarnya serta dari arah Gambang ke kawasan Tanjung Lumpur.

“Kita tak dapat lagi jangkaan tarikh sebenar untuk buka tapi saya difahamkan hari ini wakil pihak dari pejabat Kuala Lumpur melihat persiapan dan kesediaan jejambat ini untuk dibuka.

“Perkara tersebut akan dibawa ke sesi mesyuarat yang akan diadakan pada Jumaat ini dan kebenaran untuk buka jalan ini kita akan terima daripada pihak KKR sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette