Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 26 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kim Pan Gon mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap dua kekalahan berturut-turut Harimau Malaya selepas kalah 2-0 kepada Oman di halaman sendiri dalam aksi keempat Kumpulan D, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, kedua-dua gol kemenangan skuad pelawat dijaringkan oleh Omar Al-Malki pada minit ke45 dan Mohammed Mubarak Al-Gafri pada minit ke-94 perlawanan.

Ketua Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, agak sukar bagi beliau untuk menerima keputusan yang tidak dijangka itu.

Bagaimanapun beliau menjangka baki dua perlawanan terakhir yang akan menyusul nanti adalah wajib menang untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

“Kami sepatutnya lebih berhak untuk menang menentang Oman tadi (semalam) bukannya kalah kali kedua dengan pasukan yang sama dan ia satu keputusan sangat berat untuk dihadam pasukan.

“Namun saya mengaku dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini yang mana saya telah mengambil risiko besar dalam formasi pemain (kesebelasan utama) untuk aksi sebentar tadi (semalam).

“Dalam hal ini, saya tidak akan menyalahkan pemain skuad saya sebab mereka memberikan yang terbaik di atas padang cuma nasib tidak memihak kepada kami seperti yang diharapkan,” katanya pada sidang media pasca perlawanan di sini malam tadi.

Beliau juga menyeru penyokongnya memahami pasukan kebangsaan telah berdepan sebuah pasukan Asia Barat yang kuat dalam segala aspek yang menduduki rangking ke-80 dunia dan memuji pemain yang kekal mempamerkan semangat juang tinggi walaupun tewas.

Pan Gon beliau tidak mahu terus memikirkan tentang kekalahan itu sebaliknya mahu mempersiapkan skuadnya untuk menghadapi dua perlawanan terakhir menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei nanti.

Beliau berharap penyokong tidak mengherdik pasukan Harimau Malaya yang terluka dengan kekalahan malam tadi sebaliknya terus kekal setia dan memberikan semangat untuk mereka bangkit semula dalam dua lagi perlawanan terakhir Jun ini.

“Janganlah, bila menang memuji kami.. apabila kalah memaki dan mengutuk kami pula..saya tak boleh membenarkan kata-kata negatif itu meruntuhkan moral dan semangat pemain saya.

“Sokonglah mereka agar kembali bersemangat dan bersiap menghadapi aksi seterusnya yang sangat penting yang mana kita akan bertemu Kyrgyzstan di halaman mereka pada 6 Jun depan.. selepas itu akan menerima kunjungan Chinese Taipei ke Bukit Jalil 11 Jun nanti.

“Saya harapkan kejaiban untuk menang 100 peratus dalam dua aksi terakhir kumpulan D itu demi mengukuhkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Kalah dua kali kepada Oman selepas mengharungi empat perlawanan di Kumpulan D tidak bermakna dunia sudah berakhir untuk kami.. masih berpeluang dan kami akan bertarung habis-habisan dengan berbekalkan segala tenaga yang ada sehingga akhir untuk cipta kejutan dan menang baki dua perlawanan itu,” ujarnya lagi.

Dengan kekalahan malam tadi Malaysia kekal di tangga ketiga dengan 6 mata dalam Kumpulan D manakala Kyrgistan mengungguli carta dengan sembilan mata selepas membelasah Chinese Taipei 5-1 dalam satu lagi aksi berasingan kumpulan D malam tadi.

Oman menduduki tangga kedua dengan sembilan mata selepas menewaskan Malaysia dengan keputusan 2-0 dalam kedua-dua perlawanan.-MalaysiaGazette