KUALA LUMPUR — Seorang lelaki tempatan mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang peguam bergelar Datuk melibatkan urusan penjualan tanahnya bernilai RM1.4 juta di Sepang, Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan daripada individu berusia 54 tahun itu pada 16 Mac lalu.
Dalam laporan tersebut, mangsa mendakwa telah berjumpa dengan suspek dan bersetuju untuk melantik firma guaman itu bagi menguruskan penjualan tanah pusaka miliknya.
“Tanah itu telah berjaya dijual pada harga RM1.4 juta dan mangsa telah menerima bayaran sebanyak RM381,110.
“Berdasarkan perjanjian, suspek bertanggungjawab untuk menguruskan wang jualan tersebut untuk tujuan pembayaran kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sepatutnya menyerahkan baki wang kepada mangsa.
“Namun sehingga kini, suspek didapati gagal memulangkan baki wang hasil jualan tanah milik mangsa itu,” katanya dalam sidang media hari ini di Menara KPJ,” ujarnya.
Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Dalam satu lagi pekembangan berasingan, Ramli berkata, JSJK telah membuka lima kertas siasatan memabitkan sindiket penipuan pelaburan melibatkan Skim Pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah melibatkan nilai kerugian RM745,685 sejak Januari tahun ini.
Katanya, siasatan awal mendedahkan skim ini mula beroperasi sejak 2019 dan menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur kononnya mengikut konsep hibah (hadiah).
“Pulangan yang ditawarkan sindiket mencecah sehingga RM1 juta bagi setiap RM1,000 yang dilaburkan dan tawaran pelaburan ini dibuat secara bersemuka melalui kenalan serta saudara mara.
“Mangsa akan mengikuti seminar dan kursus yang diadakan dan setelah yakin dengan skim pelaburan yang ditawarkan, mangsa akan mula memindahkan wang ke akaun yang diberikan.
“Bagaimanapun, polis mendapati setelah pindahan wang dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette