Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Serangan dan kritikan yang sering dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengenai Pangkalan Data Utama (PADU) adalah bersifat peribadi, kata Rafizi Ramli.

Menteri Ekonomi itu berkata, kritikan terhadap PADU itu hanya dicanang oleh beberapa individu sahaja dan tidak mencerminkan situasi sebenar mengenai sistem berkenaan.

“Yang bising ini Puad Zarkashi sahaja. Puad Zarkashi ini kalau Malaysia kaya raya pun dia masih lagi tak bersetuju dengan saya.

“Ini kerana dulu saya bawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa dia menjadi (Ketua) Pengarah JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) dan dia kalah pilihan raya.

“Selepas itu, terpelanting daripada kerajaan. Jadi, ia peribadi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Peluncuran Acara Perdana KL20 di Dewan Bankuet Parlimen hari ini.

Rafizi berkata demikian mengulas kenyataan Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang menyifatkan PADU sebagai gagal kerana sistem kerja, komunikasi dan imej Rafizi yang tidak diyakini rakyat.

Puad turut berkata kerajaan Sarawak juga tidak setuju dengan PADU yang secara terbuka menyatakan kebimbangan sistem itu sekali gus meminta pendaftarannya ditangguhkan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada sistem penyampaian kebajikan kepada rakyat akan terencat dan bertambah kucar kacir dengan kegagalan berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafizi (PH-Pandan) berkata, kritikan beberapa pihak berkenaan tidak menghalang pendaftaran orang ramai terhadap sistem itu.

“Contohnya dalam tempoh seminggu yang lepas, setiap hari ada 300,000 ke 400,000 orang mendaftar. Kita selalunya akan tumpu empat, lima orang yang buat bising itu. Tetapi apa jadi dengan 300,000 ke 400,000 yang mendaftar setiap hari ini?

“Saya fikir kita mengambil langkah yang objektif. Yang bising itu hak dialah.

“Kalau dia kata tak yakin kerana soal keselamatan data, kita sudah bentangkan sejak 2 Januari sampai sekarang walaupun ada ketika serangan itu sampai dua juta cubaan seminggu (tetapi) sampai sekarang (data) masih lagi belum bocor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast