Tangkap layar menunjukkan sebuah kereta Proton Wira tanpa nombor pendaftaran didakwa memandu secara bahaya termasuk memotong kenderaan lain di garisan berkembar.

BUKIT MERTAJAM – Polis sedang mengenal pasti pemandu kereta jenis Proton Wira yang memandu secara berbahaya di persimpangan Permatang Ara menghala pekan Permatang Pauh di sini hari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesan kejadian itu selepas video yang dirakam orang awam itu tular selepas dimuatnaik di laman sosial Facebook.

“Berdasarkan rakaman video tular itu kejadian didapati berlaku hari ini kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

“Sehubungan itu, kita minta orang awam dan saksi kejadian tampil atau hubungi balai polis untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video dengan nota anak kepada seorang individu cedera di bibir selepas dia cuba mengelak sebuah kereta memotong kenderaannya di laluan garisan berkembar di persimpangan Permatang Ara dekat sini.

Individu berkenaan turut mendakwa dia hampir bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tanah akibat tindakan tidak bertanggung jawab oleh pemandu Proton Wira tanpa nombor pendaftaran itu. – MalaysiaGazette