Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan ke Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban bagi meninjau persediaan PLUS dalam menghadapi pertambahan trafik di lebuh raya utara-selatan sempena perayaan Aidilfitri ketika di Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2024.

SEREMBAN – Kerajaan bersetuju memberi tol percuma selama dua hari kepada kenderaan kelas satu (persendirian) sahaja pada 8 dan 9 April 2024 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 10 April ini.

Pengecualian tol ini dilaksanakan di semua plaza tol di seluruh negara membabitkan lebuhraya utama iaitu Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya KL-Karak di Tol Gombak serta Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 kecuali  di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya utama seluruh negara bermula pada jam 12.01 tengah malam 8 April dan akan berakhir pada jam 11.59 malam 9 April ini.

“Tol percuma ini membabitkan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta.,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nantha Linggi.

Alexander Nanta Linggi

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Rumah Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan) di sini petang hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir.Dr. Sazali Harun.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidnag pada 7 Februari lalu selaras dengan aspirasi kerajaan Perpaduan Madani yang sentiasa menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Terdahulu, Alexander mengambil masa meninjau fasiliti-fasiliti di R&R Seremban (arah selatan) yang telah dinaiktaraf dengan kos berjumlah RM45 juta.

Menurutnya, kawasan rehat dan rawat itu telah dinaiktaraf dengan reka bentuk binaan berkonsepkan mesra alam dan menggunakan tenaga solar untuk menjana tenaganya termasuk kemudahan tempat letak kereta yang selesa dan luas menjamin keselesaan pengguna lebuh raya tersebut.- MalaysiaGazette