Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Dua peniaga terlibat dalam pertengkaran di bazar Ramadan Taman Medan, di sini, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, siasatan polis mendapati seorang wanita yang berniaga jus tembikai telah berselisih faham dengan seorang lelaki yang berniaga kuih popia di bazar Ramadan tersebut pada Selasa lalu.

“Peniaga kuih popia itu tidak berpuas hati selepas wanita itu dikatakan masuk ke kawasan tapak niaganya sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Lelaki itu kemudian mengambil sebatang besi sebelum memukul peniaga wanita itu menyebabkan berlaku kekecohan di bazar itu.

“Kedua-dua peniaga itu kemudian dibawa ke balai polis sebelum kedua-duanya bersetuju menyelesaikan masalah secara baik kerana sudah lama berkenalan antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun menurut Shahrulnizam, kira-kira 5.30 petang semalam, anak-anak peniaga lelaki itu didapati masih tidak berpuas hati.

Tambah beliau, mereka menyerang anak saudara peniaga wanita itu yang sedang berniaga sehingga berlaku rusuhan membabitkan kedua-dua pihak di bazar tersebut.

Katanya, berikutan insiden itu, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas kesemua yang terlibat dalam pergaduhan itu yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 20-an hingga 40-an.

“Kesemua individu itu kini direman selama dua hari sehingga esok (Jumaat) bagi membantu siasatan lanjut polis kerana merusuh,” ujarnya.

Shahrulnizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Begitu lah perangai manusia yg kononnya mengaku Islam , tetapi tak dapat menahan sabar di bulan Ramadhan..Apa sudah jadi, akal mana???

Comments are closed.