KUANTAN – Musim El Nino melanda negara menyebabkan sungai di Pahang makin surut namun masih bertahan dan belum mencapai tahap kritikal.
Menteri Besar Pahang, Datuk Deri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa paras air sungai bagi menghadapi fenomena itu.
“Kita tahu sekarang ini musim panas dan air Sungai Pahang pun surut. Jadi kita berdoalah sekarang ini.
“Kita harap hujan akan turun supaya paras air kembali meningkat. Setakat ini paras air sungai bertahan, masih belum mencapai situasi kritikal,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan keadaan paras air sungai Pahang sejurus sidang media di Pejabat KOSMA hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang sudah mempunyai persediaan dan langkah tertentu bagi memantau keadaan semasa paras air sungai.
“Insya-Allah, kita ada langkah tertentu bagaimana untuk memantau perkara ini supaya (air sungai) tidak berada dalam keadaan yang tersangat kering air sungainya.
“Sekarang ini pun, kita sudah berhati-hati, melihat dari semasa ke semasa. Kita akan ikhtiar apa yang patut akan kita laksanakan sekiranya keadaan mejadi bertambah buruk,” tambahnya.
Terdahulu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan meninjau Sungai Pahang dari udara yang dilaporkan surut akibat fenomena El Nino dengan menaiki helikopter.
Baginda melakukan tinjauan udara itu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini menitahkan agar solat hajat dilaksanakan di semua masjid dan surau di Pahang bermula 23 Mac lalu.
Susulan cuaca panas, media turut melaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal pada semalam.
Empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus) dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah. – MalaysiaGazette
@malaysiagazette Musim El Nino melanda negara menyebabkan sungai di Pahang makin surut namun masih bertahan dan belum mencapai tahap kritikal. Menteri Besar Pahang, Datuk Deri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa paras air sungai bagi menghadapi fenomena itu. #malaysiagazette #ElNino #SungaiPahang