Alif Satar dilihat menampilkan prestasi yang konsisten sebagai ikon artis serba boleh serta mempunyai idea-idea baharu dan positif.

KUALA LUMPUR – Rezeki penyanyi Alif Satar semakin bertambah selepas memperkenalkan gerakan Geng Subuh Macam Jumaat pada akhir tahun lalu.

Sejak itu, bapa kepada tiga anak menjadi pilihan syarikat menjadi duta termasuk yang terbaru sebagai duta Grand Bullion Gold Sdn Bhd atau GB Gold Malaysia untuk menarik orang ramai memilih emas sebagai simpanan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahfizzam Moideen berkata, Alif dipilih syarikatnya kerana selebriti itu memiliki imej yang bersih dalam kariernya yang boleh membantu GB Gold menyebar luas maklumat mengenai kelebihan menyimpan emas.

Selain itu, katanya, Alif juga menampilkan prestasi yang konsisten sebagai ikon artis serba boleh serta  mempunyai idea-idea baharu dan positif.

“Istimewanya Alif kerana dia selalu membawa idea segar dan baharu malah mengambil kesempatan dirinya yang popular untuk mengajak orang ramai ke arah kebaikan termasuk dari sudut kerohanian.

“Pada masa sama, dia juga merupakan penyimpan emas tegar dan ia bertepatan dengan kempen GB Gold Malaysia.

“Jadi Alif Satar bukan sekadar membawa jenama GB Gold tetapi akan berkongsi pengalaman sepanjang menyimpan emas dan mendidik masyarakat tentang kelebihan dan kepentingan menyimpan emas sebagai alternatif simpanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa dan Memperkenalkan Alif Satar sebagai duta serta melancarkan emas gold bar dan emas rekaan baharu di sini semalam.

Pengenalan produk terbaru iaitu Alif gold bar dan Alif dinar yang berbentuk huruf Alif juga yang pertama di Malaysia.

Pada majlis sama, GB Gold turut menandatangani perjanjian dan mengumumkan penajaan kepada Alif Satar dan The Locos yang akan mengadakan konsert jelajah United Kingdom 2024.

Mengulas lanjut, Shahfizzam berkata, Alif Satar dilantik sebagai duta selama 15 bulan bermula bulan ini dengan pengenalan produk terbaru iaitu Alif gold bar dan Alif dinar yang berbentuk huruf Alif juga yang pertama di Malaysia.

Jelasnya, rekaan huruf Alif itu diukir dan tertera hayya a’lal falah yang bermaksud marilah menuju kejayaan dan kemenangan.

“GB Gold  bukan sekadar premis menjual emas tetapi juga sentiasa mencipta kesedaran di kalangan khalayak terutama di kalangan golongan muda yang positif untuk mengenali emas fizikal  dan menjadikan salah satu bentuk pelaburan jangka panjang.

“Kami akan sentiasa membawa aspirasi emas dengan bentuk-bentuk baharu dan di pasaran dengan kelainan dan berbeza daripada rekaan yang sedia ada di pasaran.

“Selain lantikan duta, kempen diteruskan dengan rekaan baharu mengikut musim, antaranya edisi khas hari sambutan jururawat, sambutan hari kemerdekaan, musim raya Aidil Adha dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette