YAN – Seorang wanita maut manakala dua lagi individu parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan ikan di Jalan Sungai Limau Dalam, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Noorhamidi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.02 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
Jelas beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki tiga individu serta sebuah lori yang dipandu seorang lelaki bersama kelindan.
“Semakan mendapati terdapat beberapa mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut sebelum operasi mengeluarkan mangsa dilakukan.
“Penumpang belakang kereta berkenaan yang merupakan seorang wanita disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu dan penumpang hadapan kereta sama pula dilaporkan parah sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, pemandu serta kelindan lori berkenaan mengalami kecederaan ringan namun turut dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut.
“Mayat mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum kita membersihkan tumpahan minyak di lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette