KUANTAN – Tiada mangsa tertindih di bawah bas dalam insiden bas persiaran terbalik di Kilometer 51.4, Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) berhampiran Hentian Rehat Lentang, Bentong awal pagi ini.
Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Kahar menafikan perkara berkenaan yang mulai tular di media sosial berkaitan kemalangan tersebut.
Menurutnya, dua penumpang terdiri seorang wanita dan lelaki warga asing disahkan meninggal dunia selepas bas persiaran dinaiki terbabas sebelum terbalik dalam nahas kira-kira pukul 8 pagi tadi.
“Tiada mangsa tertindih di bawah bas sebagaimana video yang tular di laman sosial. 13 penumpang cedera dan dua daripada mereka termasuk pemandu bas dilaporkan mengalami kecederaan parah.
“Bas tersebut dinaiki 20 penumpang termasuk pemandu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala ke Kuantan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Zaiham berkata, lima lagi penumpang dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Sementara itu, pihak konsesi lebuh raya, Anih Berhad memaklumkan, semua lorong terhalang ekoran kemalangan tersebut menyebabkan trafik arah timur sesak sepanjang 7.4 kilometer dari KM44 hingga ke lokasi.
Menurutnya, aliran trafik dihentikan sementara bermula kira-kira jam 9 pagi di KM 51.5 untuk memberi laluan kepada jentera bantuan ke lokasi dan pulih selepas 11 pagi tadi. – MalaysiaGazette