Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri mengajak mereka yang mendorong pemboikotan terhadap KK Mart turut mengambil tanggungjawab meredakan dan hentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai termasuk tindakan melempar bola api ke kedai KK Mart Sungai Isap di Kuantan hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Nasution mahu orang ramai memberi ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan tugas mengesan, menangkap dan menyiasat individu yang terlibat.

“Biar proses undang-undang berjalan demi keamanan, ketenteraman rakyat dan negara.

“Saya yakin rakyat terbanyak adalah kalangan yang cintakan keamanan. Hidup rukun damai dan saling hormat akan perbedaan sesama kita. Mari kita bersama-sama menolak dan mengutuk keras perbuatan keganasan seumpama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Saifuddin, Kejadian melempar bola api ke kedai KK Mart Sungai Isap Kuantan, pukul 5 pagi tadi menimbulkan keresahan penduduk setempat dan rakyat keseluruhannya menjelang tibanya Aidil Fitri.

“Keresahan rakyat ialah apakah mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan mengambil kesempatan ketika rakyat bergembira untuk menyambut Aidil Fitri dengan melempar bola api ke KK Mart.

“Polis memandang serius percubaan membakar KK Mart ini yang mana insiden pertama berlaku di KK Mart Bidor Perak pada 26 Mac lalu. Polis juga akan mengerah seluruh kekuatan untuk mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di negara ini,” ujarnya.

Menurutnya sebelum ini tindakan undang undang sudah diambil ke atas Pengarah & Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart dan pembekal stoking Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Pembekal dan penjual sudah pun didakwa di mahkamah.

Siasatan polis mendapati lima pasang daripada 18,000 pasang stoking bertulis Allah dan rampasan telah dibuat, jualan juga sudah dihentikan. Pengarah KK Mart sudah pun memohon maaf.

“Namun kejadian ini menjadi bahaya apabila ada pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen agama, kaum dan kelompok untuk kepentingan tertentu.

“Terbukti kebimbangan kita dalam isu 3R selama ini adalah berasas dan munasabah sekalipun dipertikai oleh sesetengah pihak dan isu stoking ini menunjukkan begitu mudah emosi serta sentimen rakyat dimainkan oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa dan mendorong orang ramai memboikot sesuatu jenama mungkin bukan satu kesalahan undang-undang tetapi adalah jelas menjadi suatu kesalahan apabila orang ramai bertindak menceroboh atau cuba membakar premis KK Mart.

Perbuatan ini boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. PDRM akan tetap mengambil tindakan berasaskan undang-undang demi kepentingan orang ramai, tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast