Gambar-gambar ditunjukkan pada sidang media berkenaan penjenayah samun yang ditembak mati di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2024.

SHAH ALAM – Seramai lima suspek lelaki yang ditembak mati di Putra Heights malam tadi dikenal pasti sebagai kumpulan penjenayah kejam yang disahkan terlibat dalam 50 kes jenayah samun sejak tahun 2022.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu turut mendedahkan siasatan polis mendapati, penjenayah itu  tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa ketika menyamun.

Siasatan polis mendapati kumpulan penjenayah berkenaan melakukan samun dengan menyasarkan premis syarikat penghantar barang bagi mencuri peti keselamatan yang mengandungi kutipan wang tunai.

Selain samun kilang, mereka juga menyamun rumah dan kedai.

“Penjenayah ini tinggal di kawasan Klang dan jenayah samun mereka menyasarkan kawasan utama Klang, Puchong, Bukit Jalil, Cheras dan beberapa kawasan lain.

“Kita juga percaya penjenayah ini lebih licik melakukan risikan sebelum melakukan jenayah  di tempat yang disasarkan selain merekrut ahli baharu. Mereka sukar dikesan kerana menutup muka dengan topeng semasa melakukan jenayah.

“Kita juga mempunyai rekod penjenayah ini pernah menetak dan mencederakan dengan kejam mangsa yang melawan semasa kejadian samun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kiri) menunjukkan senjata api digunakan penjenayah pada sidang media berkenaan penjenayah samun yang ditembak mati di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2024.

Mengulas lanjut, kelima suspek yang ditembak mati itu merupakan warga tempatan berumur sekitar 25 hingga 30-an dan mendapati setiap penjenayah memiliki minimum tujuh hingga 16 rekod kesalahan jenayah lampau.

Kesemua suspek telah dikehendaki dan dicari sejak tahun 2022 malam tadi terserempak dengan pasukan peronda polis dalam keadaan mencurigakan.

Kemudian, kereta dinaiki mereka ditahan sebelum kesemua suspek bertindak agresif  melepaskan tembakan yang akhirnya membawa kepada kesemua suspek ditembak mati dalam kejadian di Persiaran Harmoni, Putera Heights, Subang Jaya.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke dalam kenderaan penjenayah polis berjaya menemui dua pucuk pistol revolver dan semi auto, tiga parang tukul dan kuku besi dan dipercayai telah merancang untuk melakukan samun di kawasan tersebut pada malam tadi,.

“Polis percaya terdapat lebih daripada lima suspek penjenayah dari kumpulan samun kejam ini dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan beberapa individu itu.

“Berkaitan rompakan melibatkan peti keselamatan yang mengandungi hasil wang kutipan di premis milik syarikat penghantar barang, polis juga percaya berkemungkinan ada orang dalam yang menyalurkan maklumat kepada penjenayah untuk samun dan siasatan sedang menjurus ke arah itu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette