KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Jualan Makmur Aidilfitri 2024 untuk mengurangkan bebanan dan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam membuat persiapan menyambut perayaan hari raya.
Jualan Makmur ini akan diadakan selama lima hari bermula pada 3 hingga 7 April 2024 yang melibatkan beberapa premis (pasaraya dan dewan) di 23 lokasi di seluruh Pahang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, menerusi Jualan Makmur ini juga, barangan keperluan dijual dan disubsidi (ditanggung oleh kerajaan negeri) antara 15 hingga 30 peratus daripada harga jualan asal.
“Penganjuran Jualan Makmur ini diselaraskan oleh Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan pasaraya-pasaraya yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Rosdy berharap agar rakyat Pahang mengambil peluang ini untuk bersama-sama menjayakan Jualan Makmur Aidilfitri 2024 yang sudah pastinya akan memberi manfaat kepada semua. – MalaysiaGazette