Steven Sim menghadiri Majlis Iftar KESUMA MADANI Pulau Pinang di Hotel The Light hari ini.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 80 transformasi membabitkan empat teras utama telah dilakukan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam tempoh 100 hari Steven Sim Chee Keong menerajui kementerian tersebut.

Steven berkata, empat teras utama itu membabitkan gaji minima pekerja, latihan, keselamatan sosial serta tatakelola baik.

Jelas beliau, KESUMA juga merancang pelan jangka panjang untuk memberikan perlindungan keselamatan sosial selama 24 jam kepada pekerja secara menyeluruh di negara ini.

“Saya sudah umumkan kita akan menyemak semula gaji minimum tahun ini dan sedang mempercepatkan pelaksanaan projek rintis dasar gaji progresif.

“Kedua dari segi latihan, kita telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) dengan 13 penyedia latihan terkemuka dunia seperti Google, Microsoft, LinkedIn, Alibaba Cloud dan sebagainya sekali gus memberikan ruang kepada rakyat di negara kita untuk mengambil kursus ini melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Steven Sim.

“Selain itu, kita juga mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawah KESUMA untuk mendapatkan pensijilan ISO Anti-Bribery Management System bagi mewujudkan tatakelola baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar KESUMA MADANI Pulau Pinang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.

Tambah Steven, kesemua pembaharuan yang dilaksanakannya dalam tempoh 100 merupakan usaha sama semua warga kerja KESUMA.

“80 reformasi dan pembaharuan ini bukan hasil usaha menteri, timbalannya atau KSU semata-mata, tapi ia adalah usahasama semua warga KESUMA.

“Jadi selepas ini kita akan mara ke depan dengan dasar baru yang akan diperkenalkan serta program telah dilancarkan,” katanya.

Pada majlis sama, PERKESO turut membayar faedah berjumlah RM76,243.60 kepada empat penerima faedah meliputi Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Pengurusan Mayat.

Selain itu, seramai lima ibu tunggal, 36 kanak-kanak merangkumi 23 anak yatim, enam anak angkat PERKESO Protek serta tujuh anak penerima faedah Perkeso menerima sumbangan hamper dan duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast