KUALA LUMPUR – Sebanyak 182,666 kes sekatan perjalanan ke luar negara telah dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sejak ia dikuatkuasakan hingga 29 Februari lalu.
Jumlah ini melibatkan sebanyak 171,571 bilangan kes individu yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan, manakala sebanyak 11,095 kes adalah bagi individu yang mempunyai tunggakan cukai keuntungan harta tanah.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, LHDNM menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 104, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
Menurutnya, sekatan perjalanan ke luar negara ini dikenakan ke atas mana-mana individu yang masih tidak menjelaskan tunggakan cukai pendapatan atau cukai keuntungan harta tanah.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang meminta statistik bilangan kes sekatan perjalanan LHDNM kepada individu atau pembayar cukai apabila gagal memperbaharui pasport di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia.
Katanya, LHDNM mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen Malaysia untuk melaksanakan tindakan sekatan perjalanan bagi menghalang individu atau pengarah syarikat yang culas membayar tanggungan cukai dari membuat perjalanan ke luar negara.
Secara umumnya sebelum tindakan sekatan perjalanan dikuatkuasakan, pihak LHDNM akan melaksanakan tindakan awal kepada pembayar cukai yang mempunyai tunggakan dengan menghantar beberapa surat peringatan mengenai tuntutan bayaran tunggakan cukai dan mengeluarkan e-mel pemakluman tunggakan cukai serta menghubungi dengan panggilan telefon kepada pembayar cukai yang terlibat.
Namun kegagalan menyelesaikan bayaran tunggakan cukai mengikut tempoh yang ditetapkan akan mengakibatkan pembayar cukai berdepan dengan tindakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Bagi mengelakkan urusan ke luar negara terganggu disebabkan kesalahan tidak membayar tunggakan cukai, LHDNM melalui pelbagai platform sentiasa menasihati semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.
Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai melalui portal MyTax, selain membuat semakan sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya terdapat sekatan yang dikuatkuasakan oleh lain-lain agensi.
Menurutnya, sekiranya pembayar cukai disekat semasa di lapangan terbang, pegawai imigresen akan merujuk pembayar cukai kepada pegawai perhubungan awam LHDNM untuk mengambil tindakan bagi tujuan pelepasan ke luar negara.
Berdasarkan hasil rundingan antara pembayar cukai dan pegawai perhubungan awam LHDNM, pelepasan akan diberikan dengan segera selepas kaedah penyelesaian tunggakan cukai dipersetujui, sama ada pembayaran sebahagian atau sepenuhnya.
Bagi mana-mana pembayar cukai yang mempunyai rekod tunggakan cukai dan telah dikenakan tindakan sekatan perjalanan, pembayar cukai tersebut dinasihatkan untuk menghubungi pejabat LHDNM yang mengendalikan fail cukai agar penyelesaian yang terbaik dapat dicapai dan seterusnya membolehkan mereka membuat perjalanan ke luar negara.
Jelas beliau, tindakan pengenaan sekatan perjalanan ini bukan bertujuan untuk menafikan hak sesiapa untuk bergerak, namun ia dilaksanakan sebagai salah satu medium memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh sekali gus untuk menjamin tidak berlaku ketirisan hasil negara.
Ia juga sebagai langkah untuk melahirkan komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab yang berkongsi kemakmuran mereka dalam usaha secara bersama-sama membangunkan negara. – MalaysiaGazette