Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 bukan hanya memberi kelegaan kepada penjawat awam malah dalam masa yang sama memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat berkata, bantuan yang diumum hari ini sudah tentu akan dibelanjakan untuk pembelian barangan keperluan menjelang Hari Raya tidak lama lagi sekali gus memanfaatkan peniaga kecil, pasar raya dan sektor ekonomi lain.

“CUEPACS yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan pada hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam. CUEPACS memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan pada keadaan ekonomi ketika ini.

“Daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran,” katanya menerusi kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri sebanyak RM500 yang akan diagihkan pada Jumaat ini.

Bantuan tersebut diberikan kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak turut akan diberi bantuan berkenaan.

Manakala semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen yang akan menerima sebanyak RM250.

Mengulas lanjut Adnan berkata, bantuan yang diberikan membuktikan manifestasi kerajaan dan keterbukaan perdana menteri menerima pandangan CUEPACS.

Beliau berharap penjawat awam memberikan komitmen dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

“CUEPACS memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan pada keadaan ekonomi ketika ini dan berharap penjawat awam akan terus memberikan komitmen yang penuh dalam memberikan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Bantuan Khas Aidilfitri RM500 untuk semua penjawat awam