PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dan tidak menyangka apabila ada dalam kalangan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berada di bawah Kementerian Kewangan terpalit dengan rasuah.
Menurut beliau, kejadian itu memberi kesan yang cukup mendalam dan menyedihkan ketika kerajaan pada hari ini bertegas membanteras rasuah dengan tegas.
“Masih ada sikap sebilangan penjawat awam yang masih lagi melakukan kecurangan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.
“Kecurangan ini bagi saya sangat mengesan dan menyedihkan termasuk berita baharu daripada Kastam (JKDM),” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis perjumpaan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Bagaimanapun, katanya, maklumat yang diperoleh daripada badan penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kepimpinan kanan penjawat awam, masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut Perdana Menteri, individu-individu yang meremehkan isu rasuah ini lupa bahawa dalam satu jabatan kecil dari pasukan keluarga kecil seperti kastam masih boleh menyebabkan kerugian RM2 bilion kepada negara.
“Cuba bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel dengan minyak makan yang diambil oleh kalangan tertentu…kalau kita kumpul semua kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit dalam keadaan kita mewarisi hutang RM1.5 trilion dan defisit 56 peratus.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada satu sidang media mendedahkan seramai 34 anggota dan pegawai kastam bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion ditahan dalam Ops Samba 2.0 sejak 11 Mac lalu.
Operasi khas itu bermula pada 11 Mac hingga 25 Mac diketuai Bahagian AML, SPRM bersama pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta bantuan daripada SPRM Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.
Hasil operasi itu, kesemua anggota dan pegawai kastam dari gred 19 hingga gred 44 ditahan bersama 27 individu dan pemilik syarikat yang terbabit di dalam industri pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.
Sindiket dipercayai merasuah pegawai agensi penguatkuasaan bagi melindungi aktiviti penyeludupan yang dijalankan sejak 2017 sehingga kini. – MalaysiaGazette