Alwiyah Talib

MERSING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib cedera pada mulut dan dagu akibat kemalangan di KM 28 Jalan Kota Tinggi-Mersing, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian kira-kira 5.30 petang dan Alwiyah menerima 13 jahitan dalam mulut serta enam jahitan pada bahagian dagu.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dipandu suami Alwiyah yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan.

“Kenderaan itu dinaiki Alwiyah bersama-sama enam ahli keluarganya.

“Akibat kemalangan, Alwiyah cedera pada bahagian dagu dan mulut serta menerima 19 jahitan ketika dirawat di Hospital Mersing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Razak mangsa yang lain tidak cedera.

Pegawai Khas Alwiyah, Muhamad Amerul Muhamad dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan ADUN Endau itu diberikan sijil cuti sakit selama sembilan hari, bermula semalam.

“Justeru, segala jemputan dan program yang telah diatur di dalam jadual tidak dapat dihadiri oleh YB (Alwiyah).

“Beliau juga mendoakan agar program tersebut berjalan lancar serta menyampaikan salam takzim kepada semua,” menurut hantaran itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast