Lim Guan Eng

GEORGE TOWN – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung insiden serangan membabitkan tiga kedai serbaneka, KK Mart.

Guan Eng berkata, mesyuarat itu bagi membincangkan situasi dan mengambil langkah segera untuk mengelakkan sebarang anasir pencetus yang mampu menggugat keamanan serta keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Biarpun titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah disertai dengan amaran keras oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kedai KK Mart ketiga telah menjadi sasaran serangan bom molotov (bom petrol).

“Baginda juga bertitah bahawa telah mengarahkan agar tindakan sewajarnya untuk diambil, maka tidak perlu bagi mana-mana pihak untuk menyalakan api kemarahan

“Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO (Dr Akmal Saleh) enggan mempedulikan titah diraja ini dan masih meneruskan boikot terhadap KK Mart. Ini adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak wajar bagi seorang pemimpin kerajaan negeri Melaka yang merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan di Putrajaya.

“Biarpun Akmal telah menafikan sebarang motivasi politik dan mengutuk serangan ke atas KK Mart, pemboikotan ini tidak menghentikan serangan ganas ke atas KK Mart oleh anasir pelampau yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Tambah Guan Eng, pemilik KK Mart telah memohon maaf dengan bersungguh-sungguh di atas kelalaian pihaknya, serta bakal menghadapi pertuduhan jenayah di mahkamah oleh pihak berkuasa seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Namun lebih membimbangkan kali ini apabila cawangan KK Mart yang diserang adalah di Sarawak, negeri yang dianggap paling harmoni di dalam toleransi antara agama, negeri yang terkenal kerana mengamalkan perpaduan dalam kepelbagaian serta negeri asal pemilik KK Mart.

“Jelas sekali ini menunjukkan tiada lagi tempat yang selamat di Malaysia daripada serangan ke atas cawangan KK Mart. Memandangkan kepimpinan nasional UMNO juga memutuskan untuk menyokong tindakan Ketua Pemuda UMNO bagi meneruskan boikot ini.

“Maka kerajaan Persekutuan mesti mengambil langkah untuk mengelakkan sebarang tindakan yang menyemarakkan lagi api kemarahan menjadi lebih berbahaya di luar kawalan,” katanya. – MalaysiaGazette