Ibu Pejabat Tabung Haji Jalan Tun Razak di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan kepada kerajaan berkenaan pendedahan umum keputusan proses siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan agensi itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, segala cadangan mengenai siasatan itu telahpun dibuat oleh RCI.

“Itu hak kerajaan, jadi, Tabung Haji telah memberikan respons kepada semua cadangan yang telah dibuat oleh RCI kepada kerajaan Malaysia.

“Keputusan untuk RCI ini public (didedah) atau tidak terletak kepada dasar kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Lembaga Tabung Haji 2023, di sini, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Syed Hamadah berkata demikian ketika ditanya mengenai hasil laporan berhubung RCI yang siap pada 2022.

Sebelum ini, Mohd Na’im menerusi jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat memaklumkan, keputusan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH akan diputuskan Kabinet.

Bagaimanapun tambah beliau, TH sudah memulakan langkah pemulihan dan penambahbaikan terhadap pengurusan dan operasi syarikat itu dengan mengambil kira syor suruhanjaya berkenaan.

Mohd Na’im berkata, selaras tempoh pelantikan RCI selama enam bulan, pada 19 Julai 2022, suruhanjaya berjaya menyelesaikan siasatannya sebelum dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelantikan enam ahli RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan TH dalam tempoh 2014 hingga 2020. – MalaysiaGazette