Dr Raduan Che Ros

BANGI – Semua pihak terutama parti-parti politik perlu mempunyai sikap bertolak ansur dalam isu agama bagi mengelak berlakunya kekeruhan kaum dalam negara ini.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, tidak boleh menggunakan jalur politik dalam isu agama kerana ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih melarat.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya menghadkan hujah masing-masing dalam hal berkenaan supaya api kemarahan dapat diredakan dan bertolak ansur adalah lebih baik.

“Kalau kita gunakan jalur politik, jadinya ia akan lebih melarat lagi sebab ini adalah isu masyarakat.

“Ini adalah isu agama Islam yang saya rasa perlu dapat petunjuk dari pihak berkuasa agama,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai isu berkaitan kalimah Allah yang kini menimbulkan polemik berlarutan.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Isu itu menjadi hangat apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh melancarkan kempen memboikot KK Mart besar-besaran dengan menggesa umat Islam supaya mengambil tindakan berkenaan.

Tegasnya, boikot itu sebagai pengajaran keras kepada semua pihak yang dengan senang memperlekehkan isu agama dan bangsa.

Tindakannya itu mengundang kritikan banyak pihak termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menggesa Akmal berhenti menghentam KK Mart kerana mesejnya sudah sampai.

Akmal turut dikecam sayap-sayap parti dalam kerajaan termasuk daripada Angkatan Muda Keadilan dan DAP.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, beliau percaya kini tumpuan ataupun kesalahan akan diletakkan kepada Akmal yang pada mulanya mempunyai sedikit sikap toleransi.

Bagaimanapun katanya, apabila terdapat sokongan luar dia dilihat nampak lebih bersemangat untuk mempertahankan Islam dan apabila mendapat sokongan, gelombang pada dirinya telah menjadi-jadi.

“Kita tak boleh nak salahkan beliau seratus peratus… cumanya perlu ada hadlah.

“…dan kepada pihak-pihak lain yang menyalahkan Ketua Pemuda UMNO ini terutama dalam konteks politik contohnya dalam semangat kerajaan perpaduan perlu ada tolak ansur dan jangan gunakan jalur politik ini untuk nak menyelesaikan perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Raduan menggesa warga akademik supaya memainkan peranan sebagai duta kedamaian dan duta keamanan supaya api kemarahan kumpulan-kumpulan tertentu dapat dipadamkan.

Katanya, warga akademik menzahirkan rasa kegurasan dengan apa yang sedang berlaku dan usaha untuk mematikan arus kebencian dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan.

“Itu sebab para ilmuan negara benar-benar kena jadi duta kedamaian, perlu jadi duta keamanan untuk keharmoian negara.

“Saya rasa tidak ada pihak lain kerana ilmuan ini selalunya dipandang hormat oleh masyarakat dan kita mengambil peluang itu untuk memainkan peranan sebagai duta kedamaian, duta keamanan dan kita sama2 memadamkan api kemarahan kepada kumpulan-kumpulan tertentu,” ujarnya. – MalaysiaGazette