Wong Kah Woh (tengah) bertanyakan sesuatu kepada sekumpulan pelajar yang hadir dalam majlis berbuka puasa anjuran BSN hari ini.

PUTRAJAYA – Bank Simpanan Nasional (BSN) bersama Kementerian Pendidikan (KPM) meraikan 100 orang anak- anak yatim dari golongan asnaf di sekitar Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang masih bersekolah dalam majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Anak-anak yatim tersebut dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Putra Perdana, SK Putrajaya Presint 18 (1) dan Sk Putrajaya Presint 15 (1).

Selain diraikan dengan jamuan berbuka puasa, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Ketua Pegawai BSN, Jay Khairul menyampaikan duit raya kepada anak- anak yatim yang hadir.

BSN turut berkongsi mengenai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Jom to School – BSN Keeps Schools in Shape’ dan telah menyumbang RM500,000 kepada 25 buah sekolah di seluruh negara.

Antara aktiviti yang dijalankan di bawah CSR itu ialah membaik pulih dan menaik taraf stor sukan, dewan, tandas dan sebagainya.

Sementara itu, Kah Woh  menzahirkan penghargaan kepada BSN atas kerjasama bank itu dalam memajukan sektor pendidikan negara dan berharap hubungan yang sedia ada terjalin dapat diteruskan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette