Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dilihat memandang remeh kerana masih belum meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Disebabkan itu, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan kurang mendapat sambutan hingga akhirnya memaksa golongan M40 dan T20 didaftarkan secara automatik, kata Aktivis Politik, Shahir Adnan.

Beliau berkata, menggunakan maklumat yang diberikan kepada agensi kerajaan lain untuk PADU tanpa kebenaran jelas pemilik adalah satu pelanggaran privasi data peribadi.

Malah, bertambah parah apabila data yang digunakan dikumpul daripada 217 jabatan dan agensi kerajaan, katanya.

“Perkara ini perlu diperjelas oleh pihak kerajaan kerana ianya adalah satu pelanggaran hak peribadi yang amat serius.

“PADU dilihat sangat tergesa-gesa dan huru-hara. Perlunya undang-undang untuk menjamin keselamatan data pengguna dan perkongsian data pengguna yang masih belum digubal lagi.

“Akibat masih tidak meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Personal Data Protection 2010 atau PDP) yang mana mengecualikan kerajaan daripada sebarang liabiliti jika data bocor, maka kerajaan tidak perlu bertanggungjawab jika data kita semua dicuri.

“Akta Omnibus juga belum digubal dan dilulus dalam Parlimen. Tanpa Akta Omnibus menjadi undang-undang, agensi-agensi kerajaan sebenarnya terhalang daripada berkongsi data antara satu sama lain termasuk berkongsi data dengan database PADU,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir Adnan

Shahir berkata, secara idealnya PADU merupakan pangkalan data utama negara yang komprehensif ke arah digitalisasi dan penghasilan analitik yang tepat dengan menggabungkan semua jenis data rakyat Malaysia.

Bagaimanapun katanya, semua itu dipandang remeh dengan pendaftaran PADU secara automatik, walaupun dikatakan hanya menggunakan data asas dari agensi kerajaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.