Al-Sultan Abdullah bersama para jemaah Masjid Kampung Sungai Miang, di Pekan pada semalam

PEKAN-  Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat supaya meminum air masak yang secukupnya selepas berbuka puasa kerana cuaca yang amat panas akibat fenomena El-Nino pada masa kini.

“Saya ingin mengingatkan penduduk di sini dan rakyat Negeri Pahang, dengan keadaan cuaca yang kita hadapi sekarang iaitu fenomena El-Nino, selepas berbuka puasa perlu banyak minum air kerana ia sedikit sebanyak akan mengurangkan kesan daripada fenomena ini.

“Dan digalakkan kita minum air yang lebih sedikit dari kebiasaan bagj mengelakkan risiko mengalami dehidrasi atau strok haba.

“Bagi mereka yang mengalami dehidrasi dan strok haba, mereka perlulah segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga mengingatkan rakyat agar berjimat cermat di kala keadaan ekonomi negara dan seluruh dunia yang tidak menentu masa kita.

“Saya juga berharap rakyat dapat berjimat cermat, berbelanjalah ikut keperluan dan kemampuan,  jangan membazir, kerana ekonomi hari ini tidak menentu,” titah baginda menerusi kenyataan hari ini.

Tuanku bertitidah demikian ketika baginda dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandari Al-Haj berkenan berangkat merasmikan Masjid Kampung Sungai Miang dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Sungai Miang, pada semalam.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin ibni Al-Sultan Abdullah.

Seperti kebiasaan, Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan memberi kurnia kepada golongan asnaf, warga emas, wanita dan kanak-kanak. – MalaysiaGazette