Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor telah membuat penyelarasan di semua pintu masuk yang berada di dalam Negeri Johor khususnya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi menghadapi kesesakan luar biasa di musim perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Baharuddin Tahir berkata, penyelarasan itu  bagi menambahbaik agar aliran trafik dapat berjalan dengan lancar pada hari tersebut.

Berdasarkan statistik tahun 2023, jumlah kemasukan pelawat untuk tiga hari iaitu sehari sebelum Hari Raya hingga Hari Raya Kedua di kedua-dua pintu masuk adalah seramai 357,265 orang pelawat.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menganggarkan akan berlaku pertambahan pelawat yang akan masuk pada waktu yang sama pada tahun 2024.

Ini juga sangat signifikan kerana statistik dari bulan Januari hingga Mac 2024 menunjukkan kemasukan pelawat melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar sebanyak 414,158,834 orang pelawat manakala purata sebulan 11,258,721 manakala seharian pula menunjukkan 367,076 orang pelawat.

“Ini menunjukan peningkatan yang sangat ketara berbanding dengan masa pre-covid pada tahun 2022,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Selain itu,pembukaan kaunter pemeriksaan khususnya di (BSI) dan  (KSAB) di semua lokasi pemeriksaan kereta, motosikal dan dewan bas akan dibuka secara optimum.

” Pengaktifan Quick Response Team (QRT) yang ditubuhkan pada 6 Februari 2023 dan kini terdiri daripada pegawai-pegawai lantikan baru yang telah lapor diri pada Oktober 2023.

“Kumpulan Quick Response Team (QRT) ini akan bertugas pada syif pagi dan petang bagi memberi fokus kepada kawalan lokasi yang mengalami kesesakan. Seramai 12 pegawai QRT ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar dan 20 pegawai QRT di Kompleks Sultan Abu Bakar,”katanya.

“Selain itu, pengaktifan laluan kontra yang mula diperkenalkan di laluan Dewan Bas iaitu Balai Ketibaan dan Pelepasan di Bangunan Sultan Iskandar adalah mengikut keperluan dari semasa ke semasa akan membantu mengurangkan masa menunggu pelawat di Dewan Bas sebanyak 50 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu penambahan 10 kaunter kontra kepada 22 kaunter manual asal menjadikan bilangan sebanyak 32 kaunter.

Selain itu, tambahan sebanyak enam kaunter kontra kepada 20 kaunter auto menjadikan jumlah kaunter auto sebanyak 26 kaunter.

“Pihak JIM akan memberikan pemakluman awal 30 minit sebelum melakukan pengaktifan laluan kontra. Seterusnya di Kompleks Sultan Abu Bakar, pengaktifan laluan kontra di zon kereta sebanyak 12 kaunter tambahan kepada 24 kaunter di laluan masuk dan keluar mengikut kesesuaian aliran trafik dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, 12 kaunter hibrid juga digunakan untuk laluan motosikal jika keadaan memerlukan.

Untuk itu,  bagi memudahkan perjalanan pelawat, JIM akan berkongsi maklumat aliran trafik dan keadaan semasa di dua pintu masuk utama menerusi media sosial rasmi jabatan dari semasa ke semasa sepanjang musim perayaan. – MalaysiaGazette