Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA – Biar polis menilai dan mengambil tindakan.

Itu jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung tindakan terhadap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkait isu stoking tertera kalimah Allah yang dicetuskan KK Mart Sdn Bhd (KK Mart).

“Saya tak sebut (mengesahkan adakah Dr Akmal termasuk dalam kelompok penghasut),” katanya dalam sidang media menjawab pertanyaan media mengenai keperluan untuk polis melakukan siasatan terhadap Exco Melaka itu.

Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai soalan tersebut.

You are putting the word into my mouth. Tak adillah untuk saya,” katanya lagi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya tindakan segera diambil kepada pihak yang cuba menghasut rakyat terutama berkait isu KK Mart sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Malah Jemaah Menteri juga senada dengan titah Seri Paduka itu serta mahu aspek penguatkuasaan diberi perhatian utama serta disegerakan susulan tiga insiden serangan ke atas premis KK Mart baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri semalam mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melihat trend bersifat menghasut, menganjurkan keganasan dan tindakan melampau yang boleh menjejaskan keamanan hasil daripada aktiviti menghasut.

Katanya, beliau akui wujudnya golongan yang kerjanya membangkitkan soal keresahan dalam bentuk hasutan yang melampau dan kemudiannya mencetuskan tindakan.

“Ini semua memerlukan pihak keselamatan (polis) untuk ambil tindakan. Jadi, itu perkara kita bincang semalam pada mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Ditanya sama ada polis akan membuat laporan dan aduan susulan hantaran di media sosial memaparkan Dr Akmal menghunus pedang, Saifuddin menjelaskan beliau tidak mahu mencampuri bidang kuasa polis.

“Saya percaya polis ada tindakannya sendiri berasaskan laporan atau mereka sendiri yang buat laporan. Saya tak mahu masuk dalam bidang kuasa polis.

“Saya percaya mereka (polis) ada kepakaran sendiri dan tahu apa yang mereka buat. Apa yang penting media bantu untuk tegaskan nasihat dan titah Tuanku yang tidak mahu isu ini berterusan. Itu yang penting sekali,” katanya lagi.

Semalam, pengasas KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan diperkenan mengadap Sultan Ibrahim bagi memohon maaf berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Kee Kan selama 15 minit di Istana Negara.

Dalam pada itu, baginda bertitah supaya jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara itu termasuk menghasut rakyat. – MalaysiaGazette