Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 11 Mei sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada sidang media khas di sini selepas mempengerusikan mesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

“Hari mengundi bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu ditetapkan pada 11 Mei manakala hari penamaaan calon pada 27 April ini,” katanya.

Tarikh undi awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.

SPR turut menetapkan tempoh 14 hari untuk kempen pertama bagi tahun ini.

Seramai 40,226 pengundi kawasan itu layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari yang dikemaskini sehingga 25 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 39,362 orang adalah pengundi biasa, 238 orang tentera dan pasangan, 625 orang polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu bakal diadakan berikutan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Pada 26 Mac, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Undangab Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu dalam Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Pada PRN Selangor Ogos tahun lalu, mendiang Kee Hiong yang bertanding atas tiket PH-DAP memenangi kerusi itu dengan memperoleh 14,862 undi menewaskan Pengerusi Gerakan Selangor, Teoh Kien Hong daripada PN-Gerakan.

Mendiang menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013. – MalaysiaGazette