Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai empat lagi individu yang baharu ditangkap polis pada Rabu lalu di  Johor disyaki berkait dengan kes lelaki warga Israel bersenjata api telah ditahan reman oleh polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keempat-empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita itu dibenarkan ditahan reman bermula semalam untuk membantu siasatan lanjut.

“Kita menahan keempat-empat suspek berusia 28 hingga 41 tahun itu selepas disyaki mempunyai kaitan dengan suspek warga Israel yang diberkas bersama enam senjata pistol di Jalan Ampang 27 Mac lalu.

“Kesemua empat suspek terbaharu itu telah dipohon perintah reman sebelum dibenarkan direman selama tujuh hari bermula Khamis (semalam) sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya ketika dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Kes warga Israel bersenjata api: Empat lagi individu ditahan – KPN

Semalam, Razarudin mengesahkan kepada MalaysiaGazette tentang tangkapan terbaharu membabitkan empat individu yang mempunyai kaitan dengan lelaki Israel yang ditahan bersama enam senjata api di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini pada 27 Mac lalu.

Katanya keempat individu termasuk dua wanita ditahan oleh polis di Skudai dan Gelang Patah, Johor pada Rabu lalu.

“Kita sedang melakukan siasatan tentang peranan keempat-empat suspek ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tangkapan (tiga suspek) sebelum ini.

“Tangkapan empat suspek terbaharu ini sekaligus menjadikan setakat ini seramai tujuh individu telah ditahan dan sedang disiasat oleh polis dalam kes ini termasuk suspek utama iaitu lelaki Israel berusia 38 tahun,” ujarnya lagi.

Manakala, pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membeli keenam-enam senjata api itu dengan nilai RM10,000 setiap pucuk di Thailand dan membekalkan kepada suspek  ditahan di bazar Ramadan di Kaala Selangor pada 29 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Pasangan suami isteri bekal senjata api pada warga Israel direman hari ini

Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan Honda Jazz milik pasangan itu di kediaman mereka berjaya membawa kepada penemuan sepucuk pistol sebelum direman sehingga 5 April dan akan disambung reman untuk siasatan lanjut polis.- MalaysiaGazette