Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini secara keseluruhannya menahan seramai 16 individu berhubung siasatan berkait tangkapan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam perkembangan terbaharu kes itu – polis memberkas seramai menahan 12 individu selepas menjalankan siasatan terhadap suspek utama Shalom Avitan, 38, pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandunya.

Tiga daripada 12 individu yang ditahan itu adalah turut membabitkan dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).

“Kesemua 12 individu itu ditahan dalam serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Johor dan ibu negara berdasarkan risikan, siasatan dan maklumat yang diterima dari orang awam.

“Malah ada tangkapan ini diperoleh dengan kerjasama hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Razarudin, setakat ini, tangkapan oleh JSJK menerusi hasil siasatan itu dipercayai diperoleh berdasarkan penjejakan pembayaran untuk senjata api membabitkan suspek dan juga pasangan suami isteri tempatan yang membayar menggunakan mata wang kripto.

Justeru, katanya, pasangan suami isteri yang ditahan membantu siasatan kerana disyaki mengedar enam senjata api kepada Shalom telah tamat reman hari ini dan tempoh reman dilanjutkan selama tujuh hari lagi sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Sejurus selepas tangkapan ke atas Shalom dan tiga lagi suspek warga tempatan termasuk pasangan suami isteri, polis kemudian berjaya memberkas enam lagi suspek iaitu empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun.

“Hasil siasatan lanjut terhadap 4 suspek pertama itu kemudian membawa pasukan polis kepada penahanan seramai enam lagi individu yang terdiri daripada dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun.

“Sebahagian mereka ditahan reman bermula semalam manakala sebahagian lagi ditahan reman bermula hari ini selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tegas Razarudin, pada masa ini, PDRM masih dalam proses melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif dan tujuan sebenar suspek utama iaitu Shalom memiliki enam pucuk pistol dan peluru yang dibeli dari Thailand.

Sebelum ini pada Selasa lalu, Razarudin dalam sidang media khas menyatakan  siasatan terhadap Shalom dikendalikan dalam pelbagai sudut meliputi semua aspek.

Pada masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan yang ada termasuk bermotif ancaman terhadap  Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan diplomat asing, pemimpin-pemimpin Hamas (Palestin) yang ada di negara ini serta keselamatan rakyat negara ini sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast