KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya warga Kolej Keris Mas (KKM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bergotong royong menghasilkan makanan tradisi yang kian dilupakan iaitu dodol.
Pengetua kolej tersebut, Prof. Madya Dr. Hamidun Bunawan berkata, warga KKM menyahut cabaran itu dan menghasilkan tiga kawah dodol sebelum diagihkan kepada warga UKM dan juga komuniti di sekitar Bangi.
Seawal jam tujuh pagi lagi, 75 orang yang terlibat menyediakan dodol tersebut, terdiri daripada pihak pengurusan, kakitangan, barisan felo, Majlis Eksekutif Pelajar dan warga kolej.
“Bukan senang untuk kita menghasilkan dodol kerana ia mengambil masa yang lama. Dengan keadaan cuaca yang panas dan dalam keadaan kita yang berpuasa, sudah tentu kerjasama untuk mengacau dodol sehingga siap adalah sangat penting,” katanya.
Program kacau dodol itu turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil dan Pendaftar, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadakkuthulla.
“Kali terakhir saya mengacau dodol adalah lebih kurang tujuh hingga lapan tahun lepas,” kata Dr Mohd Ekhwan yang teruja sewaktu menyumbang tenaga mengacau dodol.
Sementara itu, Dr. Syarul Nataqain berkata, penghuni KKM beruntung dapat merasai pengalaman kacau dodol beramai-ramai.
“Manis dodol bukan sahaja pada rasanya, tapi pada kerjasama yang terjalin sepanjang proses pembuatan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette