Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan permohonan  sambung reman ke atas suspek utama lelaki warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan bersama enam senjata api dan 200 peluru hidup di sebuah hotel di Jalan Ampang 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini berkata, polis akan melanjutkan reman ke atas suspek berusia 38 tahun yang juga memegang pasport kewarganegaraan Perancis itu untuk membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut.

“Suspek utama ini direman selepas diberkas pada 27 Mac lalu dan tempoh reman akan tamat esok (7 April 2024).

“Esok (Ahad) kita akan membuat permohonan sambung reman terhadap suspek utama itu bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan sama, Razarudin menambah, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar suspek utama iaitu Shalom memiliki senjata api tersebut.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Pada 27 Mac lalu, Razarudin mengesahkan penahanan lelaki ini bersama senjata api.

Suspek didakwa memberi alasan sedang mencari dan mahu membunuh seorang penjenayah mafia senegaranya.

Bagaimanapun polis Malaysia sedang menyiasat lanjut untuk mendapatkan motif utamanya dan menganggap alasan suspek itu sebagai propaganda yang cuba mengalihkan perhatian pihak berkuasa untuk agenda lain.

Susulan tangkapan lelaki ini, polis turut menahan pasangan suami isteri tempatan berusia 42 dan 40 tahun pada 29 Mac lalu di sebuah Bazaar Ramadan di Kuala Selangor.

Tangkapan pasangan ini membongkar pembelian keenam-enam pucuk pistol dengan menggunakan wang kripto pada harga lebih RM10,000 sepucuk di Thailand dan untuk diserahkan kepada lelaki Israel itu.

Polis kemudian menangkap enam lagi suspek daripada empat lelaki dan dua wanita di sekitar Skudai dan Gelang Patah Johor malam Isnin lalu.

Setakat ini polis berjaya menahan seramai 16 individu berhubung kes ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast