KUANTAN –  Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat supaya menitikberatkan aspek kesihatan berikutan fenomena El-Nino di negara ini.

Baginda menasihatkan agar menjaga kesihatan di musim perayaan ini dengan meminum air secukupnya dan menghadkan aktiviti di luar rumah.

“Kita sekarang berada dalam keadaan cuaca panas yang disebabkan oleh fenomena El-Nino. Fenomena ini boleh menjejaskan kesihatan dengan berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.

“Saya juga mengambil kesempatan ini agar setiap daripada kita menitikberatkan aspek kesihatan dan memastikan ahli keluarga khususnya anak-anak sentiasa dalam sihat walafiat.

“Oleh itu, suka saya menasihatkan kepada semua agar menjaga kesihatan di musim perayaan ini, meminum air secukupnya dan menghadkan aktiviti di luar rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baginda juga berterima kasih kepada semua Anggota Bomba dan ATM khususnya 4 Briged yang sedang membantu memadam api dalam operasi di Penor dan juga di tempat-tempat lain.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat supaya sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar menurunkan hujan, di samping menjaga keselamatan dalam pemanduan ketika musim perayaan ini.

“Kepada mereka yang pulang berhari raya ke kampung halaman masing-masing sama ada jauh atau dekat agar memandu dengan berwaspada dan berhati-hati.

“Ingatlah insan-insan tersayang dan jangan jadikan hari raya yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan bertukar sebaliknya. Sambutlah lebaran kali ini dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast