KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan bermula 12 Mac lalu.
Ini bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh Malaysia ini melibatkan pemeriksaan premis makanan seperti restoran, outlet makanan, gerai serta melibatkan pensampelan makanan.
Sebanyak 1,299 lokaliti bazar Ramadan di seluruh negara telah diperiksa bagi tempoh 12 Mac hingga 5 April lalu dengan jumlah 43,304 premis telah diperiksa.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga premis makanan telah
diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Bagi pengendali makanan pula, seramai 85,903 pengendali makanan telah diperiksa di mana 94.2% mempunyai suntikan anti-tifoid dan 87.4% telah menghadiri latihan pengendali makanan.
Selain itu, sebanyak 1,639 Notis di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM163,900 telah dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan atas pelbagai jenis kesalahan seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan yang tidak mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sehingga 5 April lalu, KKM telah menerima 29 aduan berkaitan makanan yang dijual di Bazar Ramadan seluruh negara.
Sebanyak 20 aduan telah selesai disiasat manakala sembilan aduan masih dalam proses siasatan.
Tindakan perundangan telah diambil serta pendidikan keselamatan makanan telah diberikan kepada pengusaha premis terlibat.
Bersempena lebaran yang akan tiba, KKM ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk sentiasa peka dan mengutamakan aspek keselamatan makanan.
Pastikan amalan pengendalian makanan yang bersih sentiasa
diamalkan terutama semasa menyediakan juadah hari raya atau ketika menganjurkan rumah terbuka.
Sentiasa amalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan dan selepas ke tandas.
Sila amalkan “Perhati dan Pilih” sebelum membeli apa-apa juadah serta amalkan “Lihat, Hidu dan Rasa” sebelum makan. Jadikan langkah mudah ini sebagai amalan untuk mengelakkan keracunan makanan. – MalaysiaGazette